fb fb fb fb fb

Peminjam PTPTN disaran tampil berbincang jika berdepan masalah kewangan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Foto RTM

MANJUNG, 4 Januari - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berdepan masalah kewangan disaran untuk tampil berbincang bagi tujuan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan sentiasa mengamalkan pendekatan keihsanan dan tidak mahu isu bayaran balik pinjaman menjadi tekanan besar kepada peminjam.

Beliau menjelaskan bahawa pintu perbincangan PTPTN sentiasa terbuka kepada peminjam yang berdepan kesukaran kewangan bagi memastikan kaedah pembayaran yang sesuai dapat dilaksanakan mengikut kemampuan dan situasi semasa mereka.


“Masalah yang timbul biasanya melibatkan peminjam yang langsung tidak pernah datang memaklumkan kedudukan mereka atau berhubung dengan pihak PTPTN. Bagi mereka yang membayar tetapi mengalami kesulitan, mereka boleh datang untuk berbincang,”.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Back to School bersama Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Merdeka, Majlis Perbandaran Manjung.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Zambry memaklumkan, simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kini berjumlah kira-kira RM20 bilion, sekali gus menunjukkan peningkatan kesedaran ibu bapa untuk menabung bagi masa depan pendidikan anak-anak.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN