fb fb fb fb fb

"Pemimpin perlu bijak baca mesej rakyat, mentadbir secara berhikmah" - Sultan Perak

FOTO BERNAMA

KUALA KANGSAR, 4 Mac- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah kerajaan pemerintah akan terus mendapat sokongan selagi impian majoriti rakyat berjaya dipenuhi.

Oleh itu, pemimpin perlu bijak membaca mesej rakyat dan mentadbir urus negara secara berhikmah melalui mekanisme berkesan dan tiada penyelewengan.

Baginda turut mengingatkan para pemimpin supaya tidak menghampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan terdahulu.

Ini kerana, rakyat sudah terlalu lemas dan jijik melihat perlakuan rasuah yang merupakan barah dan menjadi punca kepada berlakunya keruntuhan moral, penindasan, kezaliman, pencemaran, bencana alam, pengangguran dan kemiskinan.

"Setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu dalam persekitaran politik yang baharu. Rakyat yang semakin celik huruf mengutamakan faktor-faktor integriti, amanah dan ketelusan. Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengari.

Rakyat semakin lantang mendedahkan isu rasuah dan semakin gigih menolak pemimpin berimej rasuah, pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri atau pemimpin yang mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga, atau pemimpin yang menjadi instrumen kepada ahli perniagaan," titah baginda ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-66 Sultan Perak di Istana Iskandariah, di sini.


(FOTO BERNAMA)

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mendahului senarai 22 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Mereka merupakan sebahagian daripada 212 penerima yang diumumkan pada 3 November tahun lalu.

Media Baharu