LONDON, 23 Julai- Parti Konservatif Britain dijangka mengumumkan pemimpin baharu pada 2 November depan susulan prestasi buruk yang dipamerkan parti tersebut pada pilihan raya yang diadakan bulan ini yang membawa kepada peletakan jawatan oleh bekas Perdana Menteri Rishi Sunak.
Sunak akan kekal sebagai pemangku pemimpin parti tersebut sehingga pelantikan pemimpin baharu, menurut Parti Konservatif itu dalam satu kenyataan.
Pengganti Sunak akan menjadi ketua rasmi pembangkang di parlimen dan bertanding dengan Perdana Menteri baharu Keir Starmer semasa "Soalan Perdana Menteri" mingguan, yang dilihat sebagai ujian kemahiran berpidato seseorang ahli parlimen.
Setakat ini, tiada pemimpin parti tersebut yang mencalonkan nama bagi jawatan berkenaan.
Namun, terdapat beberapa nama pemimpin Konservatif yang dikatakan layak menggantikan Sunak seperti Bekas Menteri Perdagangan, Kemi Badenoch, bekas Menteri Dalam Negeri, Suella Braverman, dan beksa diplomat, James Cleverly dan bekas Menteri Imigresen, Robert Jenrick.
Kempen pilihan raya Parti Konservatif berakhir pada 4 Julai lalu dengan kegagalan, apabila Parti Buruh berhaluan tengah, yang diterajui oleh Keir Starmer, memperolehi kemenangan besar menamatkan 14 tahun pemerintahan kerajaan pimpinan Parti Konservatif.-AFP