fb fb fb fb fb

PEMILU 2024: Proses undi semula di Malaysia berjalan lancar

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 10 Mac- Proses pengundian semula Pilihan Raya Umum Indonesia (PEMILU 2024) bagi seluruh kawasan di Kuala Lumpur berjalan lancar.

Pengundian melibatkan 62,217 pengundi berdaftar, dengan 42,372 daripadanya mengundi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) manakala selebihnya melalui peti undi bergerak di 120 lokasi.

Proses pengundian bermula pukul 10.00 pagi tadi dan berakhir pukul 6.00 petang, hari ini.

Sejak pusat mengundi mula dibuka, pengundi warga Indonesia mula berbaris dan menunggu giliran untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Alhamdulillah, semua berjalan lancar. Memandangkan ia adalah pemilihan semula, ia tidak begitu sukar dan setiap lokasi mengundi, ada dua pegawai yang membantu," kata Beni Handrayani kepada pemberita.

"Proses hari ini berjalan lancar. Siapa pun presidennya, mengecapi kemakmuran itu adalah fokus utama pemimpin," kata Rita Juliana.

"Pemilihan hari ini berlangsung dengan cukup mudah. Hanya patuh kepada undang-undang dan arahan daripada pegawai," kata Afwah Ahmad.

PEMILU 2024 diadakan semula selepas terdapat unsur pelanggaran yang dilakukan oleh tujuh Panitia Pemilihan Luar Negeri Kuala Lumpur.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM