fb fb fb fb fb

PEMILU 2024: Lebih 200 juta rakyat Indonesia pilih presiden baharu

Foto AFP

JAKARTA, 14 Februari- Selepas 75 hari berkempen, lebih 200 juta rakyat Indonesia menunaikan tanggungjawab mereka hari ini untuk keluar mengundi bagi memilih presiden baharu sempena Pemilihan Umum (PEMILU) 2024.

Sebanyak 823,220 Tempat Pemungutan Suara (TPS) akan dibuka di 38 provinsi seluruh Indonesia.

Seramai 204.8 juta pemilih berdaftar akan membuat pilihan masing-masing bagi tempoh enam jam bermula pukul 7.00 pagi hingga 1.00 petang hari ini.

Hari ini merupakan hari yang begitu istimewa dan ditunggu-tunggu oleh ratusan juta rakyat Indonesia kerana fasa penting ini menentukan siapakah presiden baharu yang akan diberi mandat bagi memimpin republik ini.

Dan bukan itu sahaja, dalam proses demokrasi ketiga terbesar di dunia ini mereka akan memilih ahli Parlimen bagi peringkat kebangsaan, wilayah dan bandar.

Berdasarkan Daftar Pemilih Tetap (DPT) PEMILU 2024, rekod menunjukkan 52 peratus di antaranya merupakan pemilih muda.

Rata-rata mereka adalah pemilih berusia dari 17 tahun hingga 50 tahun dengan bersamaan 106. 35 juta orang.

Daripada angka itu, Generasi Milenial mendominasi pemilih paling tertinggi iaitu lebih 68 juta orang.

Generasi Milenial merupakan mereka yang lahir dari tahun 1981 hingga 1996.

Pemilih kedua tertinggi adalah Generasi X, iaitu 57 juta orang bagi mereka yang lahir dari tahun 1965 hingga 1980.

PEMILU 2024 menyaksikan lima provinsi yang mempunyai pengundi terbanyak.

Pertama, wilayah Jawa Barat dengan 35 juta orang.

Kedua, Jawa Timur iaitu sebanyak 31 juta pemilih dan ketiga, Jawa Tengah dengan 28 juta orang pemilih.

Sementara itu, paling sedikit pengundi di provinsi Papua Selatan iaitu seramai 727, 000 pemilih.

Selepas pusat mengundi ditutup pada pukul 1.00 petang, akan berlaku proses kiraan cepat atau 'quick count' bagi mengetahui keputusan tidak rasmi.

Bagi mendapatkan jumlah undi rasmi yang sebenar, proses kiraan undi akan bermula esok iaitu 15 Februari sehingga 20 Mac depan.

Tiga kombinasi yang bertanding untuk PEMILU 2024; Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan Datuk Bandar Surakarta, Gibran Rakabuming Raka yang juga anak sulung penyandang Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi; bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo bersama bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan Mohammad Mahfud Mahmodin, serta pasangan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan Pengerusi Parti Kebangkitan Nasional, Muhaimin Iskandar.

Pemenangnya akan menggantikan Jokowi sebagai presiden Indonesia kelapan pada Oktober depan.

Artikel Berkaitan:
PEMILU 2024: Pengundian luar negara berjalan lancar
Pusat mengundi Pemilu 2024 di KL terbesar di dunia- Duta Indonesia






 

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM