
KUALA LUMPUR, 17 Februari –Kebenaran pemilikan dan pengimportan bunga api jenis Pop-Pop” dan Happy Boom sempena Tahun Baharu Cina masih tertakluk pada permit yang dikeluarkan oleh ketua polis daerah serta pematuhan spesifikasi dan syarat ditetapkan.
- Pemilikan dan import Pop-Pop dan Happy Boom tetap memerlukan permit polis daerah.
- Semua aktiviti berkaitan bunga api tertakluk pada Akta Bahan Letupan 1957 dan peraturan berkaitan.
- Pengawalan bertujuan menjaga keselamatan, elak kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti.
- Orang ramai dinasihatkan patuhi undang-undang dan amalkan langkah keselamatan semasa bermain bunga api.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan berkata perihal pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun dan bunga api tertakluk pada peruntukan Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Beliau berkata pendekatan pengawalan yang dilaksanakan adalah atas faktor ketenteraman awam bagi memastikan keselamatan masyarakat serta mengelakkan risiko kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti.
Datuk Seri Khalid berkata, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut pelbagai seksyen di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
“Masyarakat dinasihatkan agar bermain bunga api di kawasan lapang di samping mengamalkan langkah-langkah keselamatan dan berwaspada semasa bermain bunga api agar tidak mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan kegusaran pada penduduk setempat,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang dalam memastikan sambutan Tahun Baharu Cina harmoni dan selamat.