fb fb fb fb fb

Pemilik syarikat pemborong diesel berdepan 116 pertuduhan, gagal kemuka dokumen pembelian

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 23 Jun- Seorang pemilik syarikat pemborong diesel didakwa atas 116 pertuduhan kerana gagal mengemukakan dokumen berhubung pembelian diesel dan menyelenggara buku stok diesel membabitkan 2.64 juta liter diesel bernilai lebih RM10 juta pada Disember 2022 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Tertuduh, Mohd Fared Ramli, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Menurut pertuduhan pertama sehingga 58, tertuduh iaitu pemilik perniagaan Wau Beremas Enterprise serta pemegang lesen pemborong diesel didakwa gagal mengemukakan dokumen dan maklumat dikehendaki penolong pengawal bekalan berhubung pembelian diesel untuk tujuan eksport.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah premis di Jalan Sultan Omar, Kampung Chepa, Kota Bharu pada 18 Disember 2022.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(4)(a) Akwa Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan 59 hingga 116, tertuduh didakwa gagal menyelenggara buku stok diesel yang tidak mengandungi maklumat tarikh, kuantiti, harga, nama dan alamat penjual atau pembeli bagi penjualan barang berjadual iaitu diesel untuk tujuan eksport  di lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Perturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Suhana Mohd manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed.

Terdahulu, Mohd Sophian memohon jaminan sebanyak RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat KPDN Kota Bharu setiap bulan.

Peguam tertuduh bagaimanapun tidak membantah syarat yang dikenakan namun memohon anak guamnya dapat melapor diri di KPDN Putrajaya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan denda sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat yang dimohon pihak pendakwa raya dan menetapkan 23 Julai sebagai tarikh pengurusan kes.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM