KUALA LUMPUR, 18 Mei- Sebarang salah laku termasuk jika wujud amalan politik wang pada Pemilihan PKR 2025 perlu dilaporkan terus kepada Lembaga Disiplin parti, beserta bukti.
Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh berkata setakat ini, pejabatnya tiada maklumat berhubung perkara itu kerana masih belum menerima laporan daripada Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
"Jika ada, ia disalurkan terus kepada Lembaga Disiplin.
"Jika berlaku (politik wang seperti didakwa), hantar terus laporan beserta bukti kepada Lembaga Disiplin parti," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dilaporkan berkata parti itu berdepan risiko amalan politik wang yang dianggap sebagai salah satu bentuk rasuah paling sukar dibuktikan.
Semalam, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan berlakunya amalan politik wang dalam pemilihan parti itu kali ini dalam bentuk mendapatkan sokongan atau pengaruh.
PKR katanya, kekal berpegang kepada prinsip asas perjuangan parti yang dibina, bukan atas kekuatan dan menyuntik idealisme kepada rakyat untuk menerima parti itu seadanya.
PKR akan mengadakan pemilihan pada 23 Mei ini, dengan 251 pencalonan diterima JPP bagi pelbagai jawatan di peringkat pusat.
Kedudukan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar, manakala jawatan timbalan presiden menyaksikan persaingan antara Datuk Seri Rafizi dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Sementara itu, seramai 12 calon bertanding bagi jawatan naib presiden.