fb fb fb fb fb

Pemetaan utiliti bawah tanah, elak insiden tidak diingini

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

KUALA LUMPUR, 26 Ogos- Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mahu agensi terlibat membuat pemetaan utiliti bawah tanah terutama di Lembah Pantai.

Ia bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

"Satu dari segi apa disebut sebagai pemetaan utiliti atau utiliti mapping dan kebiasaannya kebanyakan daripada kejadian tanah jerlus ini melibatkan yang saya sebut tadi pergerakan air dalam kuantiti yang banyak.

"Maka, bagi saya sebagai seorang Ahli Parlimen di kawasan Kuala Lumpur memandangkan banyak utiliti sebenarnya telah dipasang sekian lama. Kalau di Jalan Abdullah sejak tahun 1940-an, maka wajar untuk kita lakukan siasatan yang lebih menyeluruh dan meneliti aspek-aspek penyelenggaraan bagi saliran-saliran utiliti tersebut.

"Datuk Bandar tempoh hari memaklumkan beliau belum menerima lokasi-lokasi tertentu kemungkinan berlaku kejadian tanah jerlus. Tapi, insya-Allah saya percaya setelah beliau menerima maklumat ahli-ahli parlimen di Kuala Lumpur akan diberikan maklumat tersebut", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, di sini, hari ini.

ROSLINA BINTI DIN