Pemerkasaan teknologi pintar dorong kelestarian Hutan Simpanan Kekal

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Pemerkasaan teknologi pintar yang disokong oleh pembentukan modal insan berintegriti dikenal pasti sebagai elemen utama dalam memastikan kelestarian Hutan Simpanan Kekal di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi pintar seperti GIS, penderiaan jauh dan dron penting untuk pemantauan dan penguatkuasaan Hutan Simpanan Kekal.
  • Pembentukan modal insan berintegriti dan berkemahiran diperlukan untuk melengkapkan penggunaan teknologi dalam tindakan lapangan.
  • Graduan berkemahiran dan sokongan infrastruktur latihan kukuh penting sebagai ejen pelaksana agenda kelestarian negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pengurusan dan perlindungan khazanah hutan memerlukan gabungan berkesan antara keupayaan teknologi digital serta kebijaksanaan pegawai di lapangan.

Menurut beliau, penggunaan teknologi moden seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh dan dron amat penting dalam mendepani cabaran sektor perhutanan masa kini, khususnya dari segi pemantauan dan penguatkuasaan.

“Namun teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa kebijaksanaan manusia. Dron boleh memantau dari udara, tetapi tindakan sebenar tetap memerlukan kepakaran dan integriti pegawai di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Sijil Perhutanan ke-37 Institut Latihan Perhutanan (Fortrain) di sini, hari ni.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim, serta melibatkan seramai 113 graduan daripada Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2023-2025 dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan Sesi 2024-2025.

Syed Ibrahim menyifatkan graduan yang diraikan sebagai “graduan abad ini”, bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan Fortrain, dan menaruh harapan agar mereka menjadi penanda aras baharu dalam pengurusan hutan negara bagi tempoh 100 tahun akan datang.

Setakat ini katanya, Fortrain telah melahirkan 6,369 graduan yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk pengurusan sumber asli, ekopelancongan dan landskap di seluruh negara.

Dalam pada sama, beliau turut memaklumkan bahawa 2026 ditetapkan sebagai Tahun Pelaksanaan dan Pecutan agenda kelestarian alam, yang memerlukan penglibatan aktif graduan sebagai ejen pelaksana dan penggerak utama dasar berkenaan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas peruntukan RM20.8 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi pembinaan dua blok asrama baharu di Fortrain.

Kemudahan tersebut menyediakan 98 bilik dan mampu menempatkan 196 pelatih pada satu-satu masa, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih holistik dan kondusif dalam melahirkan tenaga kerja perhutanan berkemahiran tinggi.