Pemerkasaan pendidikan tahfiz bina generasi huffaz profesional seimbang

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan penutup Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu anjuran Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO Malaysia pada Selasa / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Januari – Pemerkasaan pendidikan tahfiz pada pelbagai peringkat mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina generasi huffaz profesional yang seimbang dari segi rohani, ilmu dan kemahiran, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendidikan tahfiz dijadikan aset strategik negara untuk membina kekuatan rohani seiring kekuatan ekonomi.
  • Pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara 2.0 dan inisiatif Pra-Tahfiz serta Ulul Albab membina huffaz profesional holistik.
  • Pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia setara Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 meningkatkan laluan kerjaya.
  • TVET diperkasakan sebagai laluan elit baharu Melayu, menyokong kerjaya teknikal hingga profesional setara aliran akademik.

Beliau berkata, usaha memperkasakan bangsa Melayu tidak boleh tertumpu kepada kekuatan ekonomi semata-mata tanpa disertai pembinaan kekuatan rohani, justeru pendidikan tahfiz perlu dilihat sebagai aset strategik negara dan bukan isu pinggiran.

“Dalam memperkasakan Melayu, kita tidak boleh membina kekuatan ekonomi semata-mata tanpa membina kekuatan rohani. Sebab itu saya melihat pendidikan tahfiz sebagai aset strategik bangsa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Selasa.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, menerusi pelaksanaan Dasar Tahfiz Negara 2.0, program Pra-Tahfiz, Ulul Albab di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia yang setara dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, kerajaan sedang membina generasi huffaz profesional yang holistik.

Beliau berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasakan secara serius sebagai laluan elit baharu Melayu, dengan laluan pembangunan kerjaya yang jelas daripada peringkat sijil hingga profesional, setara dengan aliran akademik.

“Saya mahu melihat lebih ramai juruterbang, ahli teknologi, akauntan dan usahawan yang juga al-Hafiz, malah suatu hari nanti pemimpin tertinggi negara termasuk Perdana Menteri juga merupakan seorang al-Hafiz,” katanya.