fb fb fb fb fb

Pemeriksaan kenderaan bermotor, garis panduan boleh diperoleh bermula 15 April

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA, 26 Mac - Garis panduan bagi permohonan melaksanakan fungsi pemeriksaan berkala kenderaan bermotor boleh mula diakses bermula 15 April ini menerusi laman web rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata garis panduan itu mengandungi semua syarat perkhidmatan, prosedur pemeriksaan, peralatan pemeriksaan, syarat pengoperasian pusat pemeriksaan, perjanjian tahap perkhidmatan dan lain-lain peraturan berkaitan.

Beliau berkata, syarat-syarat perkhidmatan terbahagi kepada tujuh komponen utama antaranya modal berbayar syarikat ditetapkan berjumlah RM10 juta dan mempunyai modal pusingan berjumlah RM5 juta setahun.

"Pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan semua skop pemeriksaan yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan serta sebarang transaksi yang berkaitanya demi menjaga integriti pusat tersebut," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Tawaran Pemberian Lesen Bagi Melaksanakan Fungsi Pemeriksaan Kenderaan Motor di Bawah Akta 333 Kepada Pihak Berkelayakan dan Kompeten, di sini.

Tambah Loke, lokasi pembukaan pusat pemeriksaan akan ditetapkan oleh MOT dengan setiap tawaran akan mempunyai dua lokasi merangkumi satu kawasan bandar dan satu kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Loke berkata lesen menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan bermotor untuk tempoh maksimum 10 tahun akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berjaya melengkapkan semua proses pembangunan dan disahkan boleh mula beroperasi oleh JPJ.

Tempoh itu juga boleh disambung bagi suatu tempoh lain yang akan ditetapkan kemudian.

Beliau berkata, semua pemegang lesen akan diwajibkan menyediakan perkhidmatan seperti mana ditetapkan di bawah syarat-syarat lesen termasuk mematuhi arahan lain yang dikeluarkan MOT atau JPJ di sepanjang tempoh lesen berkuatkuasa.

"Jadi untuk menarik minat pihak yang melabur kerana sudah tentu mana-mana syarikat yang memohon lesen ini memerlukan satu dana yang besar untuk melabur dalam kemudahan dan juga pusat tersebut," katanya.

Tambah Loke, semua syarat-syarat yang ditetapkan adalah bertujuan memastikan tahap integriti pemeriksaan, teratur dan berkualiti demi menjamin tahap keselamatan kenderaan dan jalan raya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN