
GEORGE TOWN, 22 Februari – Orang ramai dan pihak berkepentingan diseru memberikan pandangan, susulan kenyataan Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) yang akan melaksanakan pemeriksaan awam bagi mendapatkan maklum balas terhadap Pindaan Skim Kereta Api Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.
- Orang ramai dan pihak berkepentingan diseru beri pandangan terhadap pemeriksaan awam Pindaan Skim Kereta Api LRT Laluan Mutiara.
- Pemeriksaan awam berlangsung tiga bulan dari 24 Februari hingga 24 Mei 2026 untuk meneliti lanjutan jajaran dan lokasi stesen.
- MRT Corp buka reruai di beberapa lokasi utama termasuk Komtar, Penang Sentral dan Stesen KTM Butterworth.
- Cadangan utama termasuk pembangunan Penang Sentral sebagai hab multimodal dan penyelarasan jajaran susulan penstrukturan semula PSR.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu merupakan satu proses yang perlu dipatuhi bagi memenuhi keperluan undang-undang dan pihaknya mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak.
“Laluan Macallum ke Penang Sentral satu cadangan penyediaan depoh sementara di Butterworth. Pengkelasan semula depoh di Pulau Silikon kepada depoh sementara dan depoh pesta sebagai depoh yang utama.
“Kita mengalu-alukan orang awam dan pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan terhadap pemeriksaan awam ini supaya MRT Corp dapat menyalurkan semula maklum balas berkenaan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk pertimbangan dan kelulusan pindaan Skim Kereta Api”, katanya kepada media di George Town.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, MRT Corp akan membuka reruai di beberapa lokasi utama sekitar Pulau Pinang termasuk Komtar, Penang Sentral, dan Stesen KTM Butterworth dengan jadual penuh serta senarai
lokasi boleh dirujuk di www.mymrt.com.my
Sesi selama tiga bulan bermula 24 Februari hingga 24 Mei 2026 itu akan memberi peluang untuk orang ramai meneliti lanjutan jajaran, lokasi stesen serta butiran projek.
Antara cadangan utama, pembangunan Penang Sentral sebagai stesen utama dan hab multimodal.
Pindaan turut melibatkan penyelarasan jajaran susulan penstrukturan semula projek Penang South Reclamation.