KUALA LUMPUR, 28 November –Badan bukan kerajaan (NGO) Empati yang memperjuangkan kesihatan mental belia mempersoal sikap segelintir pemain industri seolah-olah mengangkat budaya buli dan mengagungkan pembuli sebagai hero.
Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain, yang juga Ahli Parlimen Belia, menyifatkan tayangan filem Kahar: Kapla High Council tidak kena pada masanya ketika negara sedang berdepan beberapa kes buli yang menjadi kebimbangan masyarakat.
"Buli, bukanlah suatu isu yang boleh dibuat main, apatah lagi dijadikan hiburan yang diagung-agungkan.
"Semestinya kita menjangkakan industri perfileman boleh mengetengahkan isu buli, untuk memberi pengajaran kepada masyarakat khususnya belia.
"Babak yang menunjukkan pelajar meraikan sesi ‘perlawanan’ dan ‘ragging’, serta menjadikan pergaduhan sebagai klimaks, jelas mempromosikan budaya buli.
"Kita tidak mahu adegan seperti ini diterjemahkan kepada realiti dalam kalangan pelajar sekolah atau universiti," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau turut mempertikaikan klasifikasi 18 tahun ke atas untuk filem tersebut.
"Jika benar mesejnya adalah memberi pengajaran tentang kesan buli, kenapa ia tidak disasarkan kepada remaja yang sering menjadi mangsa pembuli?
"Filem ini sepatutnya memberikan pendidikan, bukan sekadar hiburan," tambahnya.
Bagaimanapun, beliau menyokong usaha industri hiburan mengetengahkan isu kesihatan mental dan buli untuk meningkatkan kesedaran serta empati masyarakat.
Oleh itu, beliau berharap penerbit Kahar: Kapla High Council meneliti semula keputusan menayangkan babak filem itu dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap budaya buli.
"Mungkin ada yang menganggap sebuah filem takkan mengubah sistem, tetapi bagaimana pula dengan persepsi masyarakat naratif yang dimainkan dalam mengangkat budaya seperti ini?
"Dan apa yang paling parah dapat menimbulkan rasa ‘ingin membuli’ dalam kalangan yang berisiko menjadi pembuli. Semoga ia bukan menjadi realiti," tegasnya.