SUNGAI PETANI, 26 Mac - Pembukaan semula sempadan negara akibat pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu amat dinantikan semua pihak terutamanya sektor peniagaan.
Dengan pembukaan sempadan mulai 1 April ini, ia dijangka mengembalikan semula pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor terutama melibatkan industri import dan eksport.
Bagi penggiat industri, keputusan tersebut sesuatu yang sangat baik dan sudah lama dinanti-nantikan.
Mereka berharap ia bukan sahaja dapat merangsang aktiviti import dan eksport yang tergendala, malah merancakkan semula ekonomi negara yang berada dalam keadaan suram sejak pandemik Covid-19.
"Keputusan ini sangat baiklah untuk negara kerana membolehkan pelancong masuk semula ke Malaysia dan ekonomi dapat kembali seperti biasa.
"Dengan pembukaan semula sempadan pada 1 April, kilang kami juga boleh berjalan balik, ekonomi boleh kembali baik seperti dulu, memang ekonomi kita sudah bagus, rakyat boleh kerja semula macam biasa. Bagus sangat dan kita semua sokong keputusan kerajaan," Pengerusi One Dragon Group, Dato' Seri Cheng Soo Chye.
(Cheng Soo Chye)
Perkara sama disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Voltron Malaysia Sdn Bhd, Tan You Soon.
"Kerajaan kita cukup baik, dengan pembukaan sempadan sebenarnya amat membantu untuk pemulihan ekonomi Malaysia terutama sekali pelancongan. Yang penting sekali bagi kita rakyat Malaysia yang sudah terkesan akibat situasi ini.
"Harap juga keadaan pandemik COVID-19 semakin pulih dan rakyat dapat kembali hidup seperti dahulu," katanya.
(Tan You Soon)
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lepas mengumumkan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.