Pembukaan sekolah sesi akademik 2026 di Kuala Lumpur berjalan lancar

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Megat Affandi / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Januari – Operasi pembukaan sekolah bagi sesi akademik 2026 di 289 buah sekolah di seluruh Kuala Lumpur berjalan lancar dan teratur.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPWPKL komited memantau dan membimbing semua peringkat untuk memperkukuh sistem pendidikan di Kuala Lumpur.
  • Penempatan pelajar diselaraskan berasaskan data untuk memastikan akses pendidikan yang adil dan inklusif.
  • Inisiatif dan program bersama NGO serta sokongan ibu bapa diperhebatkan untuk tingkatkan kehadiran dan cegah keciciran.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Megat Affandi Datuk Wira Haji Ismail berkata, jumlah tersebut melibatkan 104 buah sekolah menengah dan 185 buah sekolah rendah.

Menurutnya, JPWPKL komited untuk memperkukuh keberhasilan sistem pendidikan di Kuala Lumpur menerusi pemantauan rapi serta bimbingan berterusan di semua peringkat bermula dari hari pertama persekolahan.

“Bagi memastikan akses pendidikan yang adil dan inklusif, JPWPKL turut menyelaras penempatan pelajar secara terancang berasaskan data,” katanya.

Beliau memaklumkan, sebanyak 242 sekolah beroperasi secara satu sesi manakala 47 sekolah dua sesi bagi memastikan pengurusan enrolmen dan proses pembelajaran murid kekal seimbang serta kondusif.

Seramai 41,860 murid baharu memulakan sesi persekolahan tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan murid di Kuala Lumpur seramai 229,793 orang, terdiri daripada 90,552 murid sekolah menengah dan 139,241 murid sekolah rendah.

Megat Affandi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program 1st Day At School peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi tahun 2026 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah, di sini.

Pada sesi akademik kali ini, kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu melibatkan seramai 19,166 orang pelajar manakala kemasukan murid Tahun Satu melibatkan 22,694 orang di seluruh Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau berkata JPWPKL akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi kehadiran murid serta mengekang isu keciciran.

“Pada tahun ini, lebih banyak program melibatkan pelajar akan dilaksanakan. Kita juga telah bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut memberikan komitmen untuk membantu menerusi program keibubapaan bagi membimbing ibu bapa dalam memastikan anak-anak hadir ke sekolah,” katanya.