fb fb fb fb fb

Pembudayaan amalan kitar semula dalam komuniti perlu diperkasa - Fahmi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Pembudayaan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti perlu diperkasa dalam memelihara alam sekitar dan mengurangkan jejak ekologi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata hasrat itu dapat direalisasikan menerusi memberi didikan yang betul kepada masyarakat selain penganjuran program berkaitan kitar semula.

Program 'Reuse, Educate, Nurture dan Empower With Waste' (R.E.N.E.W) anjuran ICEPS UiTM di kawasan Lembah Pantai sejak semalam berjaya mengumpul lebih 100kg minyak masak terpakai untuk dikitar semula.

Fahmi berharap usaha itu dapat diperluas kepada golongan penjaja serta peniaga dalam industri makanan, akan datang.

"Program sebegini penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti. Program ini mencapai objektif dan berhasil seperti mana yang dimaklumkan kepada saya bahawa mereka berjaya mengumpulkan lebih 100kg minyak masak terpakai.

"Ini menunujukkan kesedaran itu mula meningkat dalam komuniti Lembah Pantai, tentang pentingnya pastikan minyak masak dilupuskan dengan baik dan dikitar semula. Saya harap wujud kolaborasi antara IPTA dan komuniti setempat untuk diperluas dan saya raikan usaha yang dilakukan oleh ICEPS UiTM bersama Majlis Perwakilan Penduduk Lembah Pantai," kata Fahmi selepas merasmikan Program R.E.N.E.W kerjasama ICEPS UiTM, di Taman Bukit Angkasa, ibu negara.

Lebih 10 reruai melibatkan pelbagai perkhidmatan dibuka untuk memberi manfaat kepada penduduk sekitar termasuk saringan kesihatan selama dua hari program berlangsung.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM