fb fb fb fb fb

Pembubaran PRU DUN Johor bukan kehendak peribadi - Annuar Musa

JOHOR BAHRU, 29 Januari - Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diadakan kerana mengikut kehendak ‘kluster mahkamah’ adalah tidak mengikut fakta.

Sebaliknya, ia pandangan mengikut sumber maklumat tidak sahih.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan membubarkan DUN Johor bukan kehendak peribadi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

"Menteri Besar Johor tidak buat keputusan bersendirian, Yang Berhormat Menteri Besar sebagai ketua kerajaan sudah membuat rundingan dengan anggota kerajaan, pimpinan negeri dan pusat dan Menteri Besar menyembah mohon perkenan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Johor kerana kuasa mutlak terletak pada sultan," kata Annuar kepada RTM.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menggesa semua pihak perlu menghormati keputusan itu.

Semalam, Tan Sri Abdul Hadi mendakwa PRU DUN Johor merupakan agenda ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO.

Dalam pada itu, semua pihak yang bertanding semasa PRU DUN Johor, termasuk kepimpinan parti masing-masing dinasihat tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung mana-mana pihak.

Perkara itu katanya boleh merenggangkan hubungan politik antara parti.

 

Media Baharu