fb fb fb fb fb

Pembuangan sampah haram, peniaga pasar malam tuntut PBT ambil tindakan segera

PASIR GUDANG, 4 Jun - Sekurang-kurangnya 249 peniaga pasar malam di Taman Megah Ria, Masai, di sini terpaksa berniaga dalam tekanan sejak enam tahun lalu apabila terpaksa berdepan dengan longgokan sampah di tapak pembuangan sampah haram.

Oleh itu, peniaga pasar malam di kawasan berkenaan menuntut agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera, bagi menangani isu pembuangan sampah haram yang telah berlarutan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Melayu daerah Johor Bahru, Mohd Yusof Pet berkata, longgokan sampah dapat dilihat sepanjang Jalan Cenderai melibatkan barangan perabot dan pelbagai jenis sampah dalam saiz yang besar dan kuantiti yang banyak termasuk sisa buangan industri.

Keadaan bertambah buruk apabila sampah dibakar mengancam keselamatan peniaga dan pembeli pasar malam berkenaan.

"Kita berharap pada pihak yang berkuasa supaya ada tindakan tegas diambil untuk memastikan kawasan ini lebih bersih dan selesa. Ini kebaikan untuk pengunjung yang datang dan memberi keselesaan kepada peniaga," katanya.

(Tempat pembuangan sampah haram mencemarkan alam sekeliling sejak enam tahun lalu)

Setakat ini maklum balas yang diterima dari pihak bertanggungjawab hanya balasan menerusi Whatsapp yang mengatakan aduan dibuat telah diterima, namun sehingga kini belum ada tindakan.

Justeru peniaga menggesa agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan kawasan tersebut dibersihkan.

Peniaga, Mohd Hady Iziham berkata meskipun pelbagai aduan telah dilakukan namun tiada tindakan dari pihak berkuasa dan longgokan sampah semakin teruk berlaku.

Manakala, Ahmad Mohd Zain berkata longokkan sampah di kawasan berkenaan tidak menemui jalan penyelesaiannya sejak enam tahun dia berniaga di situ.

Media Baharu