
KUANTAN, 25 Februari – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan pembinaan rumah ibadat di negeri itu wajib mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.
- Pembinaan rumah ibadat mesti mematuhi undang-undang dan peraturan negeri bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.
- Mendirikan rumah ibadat tanpa saluran sah boleh mencetuskan salah faham, ketegangan dan perbalahan antara kaum serta agama.
- Pihak berkuasa, jabatan agama dan komuniti perlu berganding bahu jelas prosedur serta memberi bimbingan kepada masyarakat.
- Rakyat diingatkan bersikap matang dan bertanggungjawab untuk memelihara ketertiban serta perpaduan negeri.
Baginda bertitah, pembinaan rumah ibadat tanpa melalui saluran sah bukan sahaja melanggar peraturan malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.
“Undang-undang bukan menyekat atau menindas tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama-sama” titah baginda yang dimuat naik di portal rasmi Kesultanan Pahang, hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera di Temerloh, pada Selasa.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah, mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan, bahawa negeri itu memerlukan ketertiban dan bukan tindakan terburu-buru yang mengundang sengketa.
Baginda menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti agar berganding bahu memperjelaskan prosedur serta memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.
“Dalam masa sama, rakyat turut diingatkan bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri,” titah baginda.