Pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan dan undang-undang – PM

Pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan dan undang-undang – PM

AMPANG, 7 Februari – Pembinaan sebarang rumah ibadat perlu mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembinaan rumah ibadah mesti mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
  • Pelanggaran peraturan boleh mencetuskan kebencian dan permusuhan dalam masyarakat.
  • Isu perlu ditangani secara berhemah tanpa provokasi untuk menjaga keselamatan dan perpaduan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kegagalan mematuhi peraturan tersebut pastinya menimbulkan kebencian dan permusuhan dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa isu seumpama itu perlu diatasi sebaiknya dan berhemah; tanpa menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Saya tidak setuju dengan percambahan kuil-kuil tidak mengikut peraturan yang ditetapkan. Mesti ikut peraturan. Sama seperti masjid atau surau atau gereja. Tetapi jangan timbul permusuhan, jangan langgar peraturan.

“Kalau sudah kita langgar, hasilnya kebencian masalah tidak selesai sebab itu, saya terpaksa keluarkan arahan tegas semalam hentikan, malah ada orang tegur, dah lama kita biar perkara ini berlarutan.”

“Semua orang nak jadi hero sekarang, pergi kepada di kampung surau jadi hero kepada agama, ada setengah orang pergi ke kawasan kuil jadi hero ekstrem orang hindu. Tapi kita korbankan perpaduan-perpaduan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor di Ampang.