
KUALA NERANG, 16 Februari – Pembinaan Masjid Muadzam Shah Kuala Nerang yang baharu di Padang Terap, Kedah dijangka siap pada Ogos ini. Kerja-kerja pembinaan masjid bernilai RM7.89 juta itu kini telah mencapai 31 peratus.
- Pembinaan masjid mencapai 31 peratus dan nilai projek RM7.89 juta.
- Kontraktor baharu sambung kerja sejak 12 Februari 2025, sasaran siap 12 Ogos 2026.
- Kontraktor tambah pekerja dan komitmen tinggi untuk mempercepatkan pembinaan.
- Masjid kapasiti 1,500 jemaah akan jadi pusat ibadah, perpaduan dan pembangunan komuniti.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak kontraktor yang dilantik juga memberikan komitmen yang tinggi bagi menyiapkan projek tersebut mengikut jadual. Ia termasuk menambah jumlah pekerja bagi mempercepatkan pembinaan.
“Setakat ini, daripada taklimat yang disampaikan oleh jurutera JKR Daerah, saya dapat melihat kemajuan projek, terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki oleh kontraktor.
“Saya percaya dengan kehadiran Datuk Pengarah ICU Kedah dan pasukan, kelancaran serta kelajuan pembinaan boleh dipertingkatkan”, katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah berkata kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terkini Projek Pembinaan Masjid Muadzam Shah Kuala Nerang di Padang Terap.
Turut hadir, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Negeri Kedah, Datuk Zepri Saad.
Pembinaan masjid tersebut bermula pada tahun 2021, namun ia gagal disiapkan oleh pihak kontraktor. Bermula pada 12 Februari 2025, pembinaan disambung semula oleh kontraktor baharu dan dijangka siap pada 12 Ogos 2026.
Masjid baharu yang mampu memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan ini akan menjadi pusat perpaduan, ibadah dan pembangunan komuniti setempat.