SUNGAI UDANG, 2 Mei- Projek pembinaan baharu Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak, Sungai Udang, dijangka bermula Julai depan kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Projek berkenaan menelan kos sebanyak RM325 juta dan dijangka mengambil tempoh selama empat tahun untuk siap sepenuhnya.
"Dalam pembinaan hospital ini, kita juga memindahkan beberapa perkhidmatan dan mungkin akan menyebabkan sedikit ketidakselesaan. Saya berharap ianya dapat kerjasama dan persefahaman daripada semua.
"Kita ini melibatkan proses merobohkan hospital yang sedia, sebab itu kita terpaksa pindahkan beberapa perhidmatan keluar dari kawsan kem namun ada juga perkhidmatan disediakan di bangunan-bangunan yang sedia ada," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak, Sungai Udang termasuk HAT di sini.
Mohamed Khaled berkata, projek baharu itu juga akan memberi kemudahan biasa, pakar dan pergigian dengan 150 katil disediakan termasuk ahli keluarga, veteran dan orang awam di sekitar kawasan hospital berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM3.165 juta diperuntuk bagi penyelenggaran Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem terbabit.