fb fb fb fb fb

Pembinaan bangunan gunasama persekutuan di Kelantan dipercepatkan

Nik Nazmi Nik Ahmad mengadakan lawatan kerja ke Kampung Aril, Kota Bharu

KOTA BHARU, 20 September- Tahap kemajuan pembinaan Bangunan Gunasama Persekutuan di Tunjong di sini bagi menempatkan semula pejabat-pejabat kerajaan pusat di Kelantan menunjukkan kemajuan baik dan dijangka dapat digunakan pada awal tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata semua pejabat-pejabat kerajaan yang kini berada di Wisma Persekutuan di sini dan pejabat kerajaan yang menyewa di premis swasta akan ditempatkan di bangunan baharu.

Nik Nazmi, yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata pembinaan bangunan itu akan dipercepatkan selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Antara fasiliti lain yang turut disediakan adalah tadika, taska, kantin dan surau. Apabila siapkan projek berkenaan, ia akan memberikan lebih banyak manfaat ekonomi khususnya di kawasan Tunjong," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kampung Aril di sini hari ini.

Bangunan Gunasama Persekutuan dibina di atas tapak berkeluasan 10.9 hektar itu merangkumi empat blok bangunan lapan tingkat dengan keluasan 90,000 meter persegi.

Menurut Nik Nazmi, sehingga 12 Ogos lepas. jumlah peruntukan asal yang diluluskan bagi keseluruhan 448 projek di Kelantan adalah sebanyak RM2.8 bilion.

"Prestasi perbelanjaan negeri adalah 59.98 peratus iaitu lebih tinggi berbanding prestasi perbelanjaan nasional 52.05 peratus.

"Daripada 448 projek itu, terdapat 92 projek baharu telah diluluskan antaranya Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2 (Komponen Rancangan tebatan banjir Kota Bharu) dengan kos RM1,064 juta dan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 2 dengan kos RM879 juta," katanya.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI