DAVOS, 23 Januari- Kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi pemberian tol percuma pada musim perayaan kepada golongan B40 dan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penelitian dibuat agar rakyat yang terkesan diberi pertimbangan sewajarnya berkaitan isu tersebut.
Katanya, subsidi tol tidak boleh terus diberikan kepada golongan berkemampuan sama seperti subsidi elektrik dan minyak.
"Ada yang bangkitkan kenapa tol percuma kepada semua, kereta-kereta mewah seperti Rolls-Royce, Mercedes, Maserati, semua dapat juga.
"Mungkin kita harus teliti supaya rakyat terkesan di bawah diberi pertimbangan lain. Ini sedang diperincikan," katanya pada sidang media di sini.
Anwar berada di Davos bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.
Kementerian Kerja Raya sebelum ini memberikan kenyataan berdasarkan prinsip daripada dasar kerajaan untuk tidak terus memberi subsidi kepada semua pihak.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan pihaknya tidak bercadang memberikan tol secara percuma menjelang musim perayaan bermula tahun ini.