KUCHING, 14 September- Usaha kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar baharu pemberian khas interim sebanyak RM600 juta melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) menjadi 'papan anjal' yang boleh melonjakkan pembangunan khususnya di Sarawak.
Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof. Dr Neilson Ilan Mersat berkata pemberian ini juga mencerminkan keprihatinan kerajaan pusat kepada kepentingan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Tambahnya, ia juga mencerminkan tahap kepedulian yang tinggi kerajaan pusat terhadap perlunya pembangunan di wilayah Sarawak atau Sabah.
Dalam pada itu, Prof. Dr Nelson juga berkata tujuh tuntutan lain di bawah MA63 berjaya diselesaikan di bawah pimpinan Kerajaan MADANI adalah satu pengiktirafan yang besar untuk rakyat Sarawak serta selari dengan Dasar Keterangkuman dan Inklusiviti.
Langkah ini juga selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, agar jurang pembangunan di semua wilayah dapat diatasi.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita RTM di UNIMAS Kota Samarahan.
Sementara itu Prof. Dr Neilson juga menyatakan terima kasih kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri kerana dengan semangat 'Segulai Sejalai', sebahagian daripada tuntutan MA63 dapat direalisasikan bersama.