fb fb fb fb fb

Kerangka kawal selia pemberi perkhidmatan internet & media sosial diwartakan

Foto Hiasan/Foto RTM

CYBERJAYA, 1 Ogos 2024 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan pelaksanaan kerangka kawal selia bagi perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata kerangka berkenaan yang diwartakan hari ini merupakan langkah proaktif dalam memerangi peningkatan kes jenayah siber, termasuk penipuan, judi dalam talian, buli siber serta jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menurut MCMC, semua pemberi perkhidmatan pesanan internet dan media sosial dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia diwajibkan untuk memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi syarat ini selepas tempoh penangguhan yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Disember 2024 akan menghadapi tindakan undang-undang", menurut kenyataan berkenaan.

MCMC juga akan membangunkan garis panduan komprehensif yang menerangkan tanggungjawab etika dan keperluan pematuhan bagi pemberi perkhidmatan dalam tempoh penangguhan tersebut.

"Antara lain, pemberi perkhidmatan dikehendaki untuk memperkenalkan langkah-langkah yang kukuh berkaitan perlindungan data pengguna, pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform yang disediakan oleh pemberi perkhidmatan tersebut oleh pengguna di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian dan meningkatkan penyederhanaan kandungan (content moderation).

"Selain itu, langkah-langkah untuk memudahkan prosedur aduan pengguna dan mengurangkan tempoh maklum balas serta langkah-langkah untuk menguruskan ‘deepfakes’ dan kandungan berbahaya yang dijana oleh Kecerdasan Buatan (AI), juga perlu diberi penekanan oleh pemberi perkhidmatan tersebut", tambah kenyataan berkenaan.

MCMC turut memberi jaminan bahawa pengguna tidak akan terkesan secara langsung oleh kerangka ini. Sebaliknya, mereka dijangka menerima manfaat melalui ciri keselamatan yang lebih baik dan pengalaman dalam talian yang lebih selamat.

Saluran aduan juga akan diperbaiki untuk memberikan respon yang lebih cepat terhadap sebarang isu kemudaratan dalam talian.

Maklumat lanjut mengenai kerangka kawal selia ini boleh didapati di laman sesawang rasmi MCMC di mcmc.gov.my. Semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil, badan bukan kerajaan, pemberi perkhidmatan, dan orang awam dijemput untuk memberikan maklum balas semasa proses rundingan awam dilaksanakan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD