KUALA LUMPUR, 3 September- Pembentukan 'otak dan watak' amat signifikan dalam usaha melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang seterusnya menjadi masyarakat Malaysia yang berkualiti.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, perkara itu menjadi kriteria utama dalam pembangunan bakat di negara ini.
Menurut Mohammad Shatar, elemen tersebut sering disebut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam melahirkan mahasiswa cemerlang akademik dengan sahsiah terpuji.
"Ciri-ciri bakat itu ialah mempunyai tahap pemikiran yang baik pada masa sama memiliki watak cemerlang.
"Dalam konteks mahasiswa, golongan itu perlu memperlihatkan adab, menghormati budaya dan bersikap sesuai individu terpelajar," katanya dalam satu kenyataan kepada RTM.
Sebelum ini, KPT menyenaraikan lima fokus utama untuk dilaksanakan bagi tahun 2024 antaranya penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi dan perkongsian ilmu.
Mohammad Shatar berkata, pembentukan 'otak dan watak' dalam pembangunan bakat berkait rapat dengan kecemerlangan jiwa kerana kita tidak mahu melahirkan watak atau bakat hebat tanpa jiwa.
Perkara itu perlu dititikberatkan seterusnya diterjemah menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas atau mana-mana platform lain.
Dalam usaha itu, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan sama ada awam mahupun swasta mampu melahirkan generasi pelajar yang hebat.
"Sekiraya dapat dilaksanakan dengan jayanya, generasi yang dilahirkan bakal mempunyai kualiti serta kepakaran luar biasa dalam bidang masing-masing.
"Ini akan menjadi daya penarik kepada majikan dari dalam dan luar negara kerana bakat mereka memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh industri," katanya lagi.