fb fb fb fb fb

Pembentukan 'otak dan watak' lahirkan kebolehan berkualiti negara

Dr Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR, 19 Februari- Pembentukan 'otak dan watak' amat signifikan dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia mempunyai kebolehan serta pemikiran yang berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kriteria utama itu penting dalam menjayakan lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sepanjang tahun ini.

Merujuk elemen yang disebut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dalam ucapan pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024, ia menjadi tunjang dalam melahirkan mahasiswa cemerlang akademik dengan sahsiah terpuji.

"Ciri-ciri bakat (kebolehan) itu ialah mempunyai tahap pemikiran yang baik pada masa sama memiliki watak cemerlang.

"Dalam konteks mahasiswa, golongan itu perlu memperlihatkan adab, menghormati budaya dan bersikap sesuai individu terpelajar," katanya menerusi kenyataan kepada RTM.

Awal tahun ini, KPT menyenaraikan lima fokus utama untuk dilaksanakan bagi tahun 2024 iaitu penyediaan kebolehan terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya dan pembentukan 'otak dan watak' menjadi esensi kepada landasan utama pendidikan.

Tambah Mohammad Shatar, pembentukan 'otak dan watak' dalam pembangunan kebolehan yang baik juga berkait rapat antara kecemerlangan dan 'jiwa' kerana kedua-dua elemen itu perlu terkait.

Katanya, perkara tersebut juga perlu dititikberatkan serta diterjemah menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kelas atau mana-mana platform PdP lain.

"Dalam usaha ini, institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan sama ada awam mahu pun swasta perlu memandang serius hasrat ini kerana mampu melahirkan generasi pelajar yang hebat.

"Sekiraya dapat dilaksanakan dengan jayanya, generasi yang dilahirkan bakal mempunyai kualiti serta kepakaran luar biasa dalam bidang masing-masing.

"Ini akan menjadi daya penarik kepada majikan dari dalam dan luar negara kerana bakat (kebolehan) mereka memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh industri," katanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA