KUALA LUMPUR, 22 November- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus komited mempertingkat latihan dan kepakaran khususnya dalam bidang kardiotoraks.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia susulan peningkatan ketara kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat di negara ini.
"Dalam konteks ini, pembedahan kardiotoraks kekal sebagai komponen utama dan fokus penjagaan dalam kalangan pesakit kardiovaskular di KKM," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata melatih lebih ramai pakar bedah kardiotoraks menjadi fokus utama dalam mencapai objektif Kementerian untuk memastikan penjagaan pembedahan kardiotoraks lebih mesra rakyat.
Menurut Datuk Seri Dr. Dzulkefly lagi, penubuhan pejabat antarabangsa pertama Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd) di Malaysia yang beropersi di kampus baharu Akademi Perubatan Malaysia di Putrajaya, akan menjadi batu loncatan untuk perkongsian yang lebih komprehensif di peringkat ASEAN.
“Program latihan pembedahan kardiotoraks Parallel Pathway di KKM yang dijamin kualitinya oleh RCSEd kekal sebagai tulang belakang latihan pada masa ini."
"Pada masa yang sama, Kementerian sedang memperkukuh semua program latihan kardiotoraks, termasuk program sarjana di universiti tempatan,” katanya.
Beliau berucap melancarkan Kongres Tahunan ke-32 Persatuan Torasik dan Pakar Bedah Kardiovaskular Asia (ATCSA) bersempena Mesyuarat Saintifik Tahunan ke-24 Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia (MATCVS).
Menurut Datuk Seri Dr. Dzulkefly, tiga kategori utama NCD - penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser telah menyebabkan ekonomi Malaysia kerugian dianggarkan RM12.88 bilion dari segi produktiviti.
"Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, 33.3 peratus atau satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia mempunyai kolesterol tinggi dan 29.2 peratus atau satu dalam tiga dewasa mendapat tekanan darah tinggi."
"Selain itu, 15.6 peratus atau satu daripada enam dewasa menghidap diabetes manakala 54.4 peratus atau satu daripada dua dewasa memiliki berat badan berlebihan atau obes, katanya.
Pada 2022, sebanyak 95,266 kematian direkodkan dalam kalangan dewasa berusia antara 30 hingga 69 tahun, di bawah purata jangka hayat penduduk negara kira-kira 75 tahun.
Hampir suku daripada kematian ini disebabkan oleh NCD.