fb fb fb fb fb

Pembayaran STR Fasa 1 bermula 29 Januari ini

Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

PUTRAJAYA, 26 Januari- Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah, (STR) Fasa 1 untuk penerima yang berdaftar akan mula dilakukan pada 29 Januari 2024.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ia akan dikreditkan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.

"Daripada jumlah keseluruhan, kita jangka 8.2 juta orang akan mendapat manfaat STR untuk menolong kehidupan seharian mereka.

"Kalau kita tengok pengalaman kita tahun lalu, dijangkakan selepas pembayaran pertama ini, ada lebih banyak orang berdaftar dan ada kemungkinan angka ini akan meningkat 9 juta sebelum hujung tahun," katanya kepada pemberita menerusi sidang media di sini.

Kerajaan telah menaikkan bayaran STR Fasa 1 sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum sebanyak RM300 tahun lalu.

Dengan ini, peruntukan bagi Fasa 1 telah bertambah sebanyak 26 peratus kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada tahun lepas dalam usaha untuk membantu sebilangan besar rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata penjawat awam sedia ada yang memilih skim pencen tidak akan terkesan dengan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan komited untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam dan pesara sentiasa terbela.

"Kemahuan untuk mengubahkan kepada mereka yang dah ada, jadi kalau penjawat awam tu dah bekerja dengan kerajaan, tiada apa yang akan bertukar, kepada apa yang ada sekarang. Jadi untuk yang baharu masuk, mereka akan masuk secara kontrak. Buat masa sekarang," katanya.

Sebanyak RM31 bilion diperuntukkan tahun ini untuk pembayaran pencen dan angka itu dijangka meningkat ke RM120 bilion pada 2040.

Justeru, ia perlu dilihat semula bagi memastikan lebihan perbelanjaan boleh disalur kepada perbelanjaan asas untuk rakyat termasuk pendidikan dan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.

 



NIZAHA BINTI ABDUL KAREM