fb fb fb fb fb

Pembayaran Fasa 3 dan Rayuan BKM bermula Selasa ini - PM

KUALA LUMPUR, 16 September- Pembayaran Fasa 3 dan Rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai Selasa ini, secara berperingkat dan dijangka selesai pada 27 September.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu akan memanfaatkan 8.7 juta penerima.

Ia terdiri daripada penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang telah lulus Rayuan BKM.

"Kerajaaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia terutama ketika negara berdepan dengan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.

"Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan komitmen berterusan kerajaan bagi meringankan beban golongan B40," katanya dalam kenyataan hari ini.

(Pembayaran berjumlah RM2.2 bilion itu akan memanfaatkan 8.7 juta penerima)

Ismail Sabri memaklumkan untuk BKM Fasa 3, setiap penerima BKM sedia ada bakal menerima sehingga RM900.

"Lebih daripada 80,000 penerima telah diluluskan Rayuan BKM dan akan menerima sehingga RM2,350 mengikut kategori kelayakan masing-masing termasuk Bantuan Tunai Tambahan yang diumumkan Kerajaan pada Jun yang lepas," jelas beliau.

Sehingga bulan ini, sebanyak RM5.9 bilion telah disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran yang telah ditetapkan.

"Dan masih terdapat bayaran fasa 4 berjumlah RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember ini," menurut kenyataan itu.

Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai Selasa ini, melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

Media Baharu