
ALOR SETAR, 24 Februari – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kedah berhampiran Stadium Darul Aman di sini, malam tadi dipercayai akibat serangan sawan.
- Lelaki berusia 35 tahun, pembantu restoran, ditemui lemas selepas terjatuh ke Sungai Kedah malam tadi.
- Saksi dan majikan melaporkan mangsa mengalami serangan sawan sebelum berlari ke arah sungai.
- Mayat ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air dari BBP Jitra kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
- Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Asuad Abdul Rashid, 35 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada pukul 8.19 malam yang memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai berhampiran Kuil Bakar Bata, sebelum anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
Sebaik tiba, didapati pihak bomba telah menjalankan pencarian di tempat mangsa dipercayai terjatuh.
Mayat mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra di dasar sungai berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada jarak satu meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.
“Siasatan ke atas majikan mangsa iaitu seorang wanita berusia 47 tahun memberitahu mangsa mempunyai penyakit sawan dan dipercayai mengalami serangan, sebelum tiba-tiba berlari ke arah sungai dan terjatuh ke dalam sungai tersebut.
“Seorang lagi saksi iaitu lelaki berusia 21 tahun memaklumkan melihat mangsa dari kedai nasi kandar menuju ke sungai sebelum terjatuh. Saksi kemudiannya menghubungi bomba dan polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.