PASIR PUTEH, 25 Januari – Seorang pembantu mekanik berusia 28 tahun maut selepas dihempap mesin pemberat getah di sebuah kuari di Selising, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata pihaknya menerima laporan mengenai seorang lelaki yang tidak sedarkan diri akibat dihempap mesin pemberat di Mukim Jerus, Selising.
“Sejurus menerima maklumat, sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Selising dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh telah dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya menerusi kenyataan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat dihempap mesin berkenaan.
Polis turut mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian yang boleh dikaitkan dengan insiden tersebut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.