TAIPING, 17 Mei - Tindakan seorang pembantu kedai santan menyimpan 67 gambar dan 55 video kandungan lucah dalam telefon pintarnya mengundang padah apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Taiping.
Majistret Nur’Atiqah Sapari menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fitri Ishak, 26 tahun selepas mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 67 gambar dan 55 video kandungan lucah yang disimpan dalam telefon pintar jenama Realme di alamat Bahagian Edgenta, Hospital Taiping pada 16 Februari 2022, kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
(Muhammad Fitri Ishak (depan) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Taiping apabila mengaku
bersalah memiliki 67 gambar dan 55 video kandungan lucah yang disimpan dalam telefon
pintar)
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Siti Hajar manakala tertuduh diwakili peguam, Ng Wei Jun dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Terdahulu, Ng merayu anak guamnya diberikan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan tertuduh menanggung keluarga dan sudah insaf selain kesalahan pertama tertuduh.
Bagaimanapun, Siti Hajar memohon mahkamah memberi hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.