
PELABUHAN KLANG, 16 Mac – Kerajaan meluluskan pembangunan terminal ketiga di Pelabuhan Klang yang akan dibangunkan di Pulau Carey bagi menampung pertumbuhan perdagangan dan meningkatkan kapasiti pelabuhan negara pada masa hadapan.
- Kerajaan Negeri Selangor akan menjadi peneraju pelaksanaan projek sebagai pihak pelaksana.
- Kementerian Pengangkutan bertindak sebagai badan pengawal selia untuk memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
- Model SPV antara negeri dan sektor swasta digunakan untuk menarik pelaburan; Perdana Menteri gesa agensi percepat pelaksanaan bagi mengukuhkan ekonomi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata projek strategik itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai peneraju pembangunan.
Menurut beliau, Kementerian Pengangkutan akan bertindak sebagai badan pengawal selia bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
‘Jemaah Menteri telah memperincikan model pelaksanaannya dan bersetuju agar Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Special Purpose Vehicle (SPV) bersama rakan strategik daripada sektor swasta. Pendekatan ini bertujuan menarik pelaburan swasta bagi membina serta mengoperasikan terminal ketiga di Pelabuhan Klang,’ katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Annex Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Tambah beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan agar semua agensi berkaitan bergerak lebih pantas bagi merealisasikan pembangunan tersebut kerana ianya merupakan satu projek strategik memperkukuh keupayaan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor pelabuhan dan logistik di peringkat antarabangsa.
Kerajaan sentiasa mengambil berat isu-isu berkaitan industri maritim dan logistik dan berusaha bersama pihak industri untuk mencari penyelesaian projek strategik jangka panjang.