SINTOK, 14 Oktober – Kesejahteraan rakyat, komunikasi beretika dan kebertanggungjawaban sentiasa menjadi asas bagi pembangunan teknologi digital nasional untuk memastikan ia memberi perkhidmatan adil, selamat dan inklusif kepada masyarakat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Malaysia komited untuk menjadi pemain utama ekonomi digital global menerusi pelbagai inisiatif dan pada masa sama memastikan teknologi tersebut memberi manfaat kepada rakyat, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum negara ini.
“Teknologi yang berkembang pesat pada hari ini bukan sahaja membentuk cara kita berkomunikasi tetapi menuntut kita untuk memberi keutamaan kepada aspek etika, memastikan kesejahteraan rakyat dan bertanggungjawab ketika menggunakan teknologi digital ini. Di dalam era digital, keterhubungan dan media meresapi setiap aspek kehidupan. Dengan itu, kesejahteraan mesti kekal menjadi asas kepada cara kita berkomunikasi. Ini kerana, di sebalik potensi besar teknologi kepada perkembangan individu dan masyarakat, ia turut membawa risiko yang berpunca daripada salah maklumat, buli siber dan tekanan media sosial.
“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan sistem komunikasi mengutamakan kesejahteraan. Ledakan maklumat melalui pelbagai platform digital bukan sahaja membawa peluang tetapi juga cabaran. Salah satunya, salah maklumat yang menghakis kepercayaan, memecahbelahkan komuniti dan lebih buruk boleh mengancam nyawa. Apabila teknologi komunikasi moden ini diterima dan digunakan teknologi komunikasi moden ini, perlu dipastikan pengguna berpegang kepada prinsip-prinsip etika,” menurut Fahmi yang berucap secara sidang video, merasmikan “9th International Conference on Communication and Media” (i-COME’24) anjuran Program Komunikasi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan bersama wakil Universitas Mercu Buana dan Universitas Negeri Surabaya, Indonesia iaitu Dr. Melly Ridaryanthi dan Dr. Dwi Prasetyo serta wakil Universiti Poly-Tech Malaysia, Dr. Nan Zakiah Megat Ibrahim turut hadir bagi majlis perasmian i-COME’24 pagi tadi.
Menurut Menteri Komunikasi, inisiatif yang dilaksanakan kerajaan MADANI merangkumi Jalinan Digital Negara (JENDELA) bermatlamat menyediakan infrastruktur digital dan satu kerangka kerja komprehensif memenuhi permintaan pengguna dari segi liputan jalur lebar berkualiti tinggi.
“Kerajaan juga memperkenalkan National Cloud Policy dan penubuhan pejabat articial intelligence (AI) sebagai usaha memastikan teknologi digital ini memberi manfaat yang besar kepada rakyat, ekonomi dan masyarakat. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada inovasi perkhidmatan awam, meningkatkan daya saing ekonomi, memperkukuhkan keselamatan data dan menggalakkan keterangkuman digital di Malaysia. Negara kini sedang mempersiapkan diri untuk menjadi hab kepada AI dan pejabat AI ini bertanggungjawab menyelaras serta membangunkan rangka kerja perundangan bagi membentuk masa hadapan AI di Malaysia,” menurut Fahmi yang berharap i-COME’24 dapat mencetuskan idea-idea baharu dan membina kerjasama untuk menyumbang ke arah masa hadapan komunikasi dan media.
i-COME’24 bertajuk “Menggubah Masa Hadapan Kita: Mengharmonikan Kesejahteraaan, Etika dan Tanggungjawab Dalam Komunikasi” disertai 80 pembentang kertas kerja dan penyelidikan dari dalam dan luar negara berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Isu semasa, cabaran dan potensi berkaitan peranan komunikasi dan media dalam mengukuhkan kesejahteraan hidup, praktis etika dan tanggungjawab individu serta organisasi dibincangkan dengan mendalam sepanjang i-COME’24 ini.