
GEORGE TOWN, 12 Januari – Pembangunan semula Tanjung City Marina dan kawasan sekitarnya termasuk Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) dan Padang Kota Lama sebagai kawasan pesisir laut akan dilaksanakan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI).
- Pembangunan semula Tanjung City Marina dan kawasan pesisir akan dilaksana melalui pembiayaan swasta (PFI).
- Projek menumpukan pengukuhan benteng laut sebelum menyambung laluan pejalan kaki ke Swettenham Pier dan marina.
- Tiada struktur kekal; fokus kekalkan zon warisan serta sediakan kemudahan komersial dan ruang awam.
Pelaksanaannya diharapkan dapat diselesaikan dalam tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata peluasan laluan tersebut memerlukan kerja-kerja pengukuhan benteng laut bagi menjamin keselamatan orang awam, selain melibatkan kos pelaburan modal yang besar.
Beliau berkata kejayaan peluasan laluan pejalan kaki sedia ada di Padang Kota Lama yang dibangunkan oleh kerajaan negeri telah mengubah wajah kawasan berkenaan dan menjadi tarikan utama kepada orang ramai serta pelancong.
“Apa yang kita mahu lakukan ialah meluaskan laluan pejalan kaki itu supaya promenade dan keseluruhan laluan tepi laut dapat disambungkan ke Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier. Apabila sampai ke Swettenham Pier, laluan itu boleh disambung lagi hingga ke Tanjung City Marina dan terminal feri.
“Keseluruhan kawasan itu sebenarnya boleh dilalui dengan berjalan kaki. Namun buat masa ini, ia belum dibangunkan sebagai laluan pejalan kaki kerana kita perlu mengukuhkan benteng laut bagi memastikan keselamatan orang awam.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun ke-70 Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) di George Town.
Hadir sama, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dan Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin.
Projek berkenaan akan dilakukan tanpa pembinaan struktur kekal, bagi mengekalkan kawasan tersebut sebagai zon warisan, selain menyediakan kemudahan komersial seperti kafe, galeri dan ruang awam.
Tambahnya, antara cabaran utama projek tersebut ialah kawasan yang terlibat berada di bawah pelbagai bidang kuasa melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pengendali Pelabuhan Pulau Pinang serta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Penyelarasan dan kerjasama erat semua pihak amat penting bagi memastikan pembangunan dan merealisasikan potensi penuh kawasan tepi laut berkenaan.