KUALA LUMPUR, 12 September - Pihak luar tidak sepatutnya mencampuri operasi pengosongan rumah di Kampung Sungai Baru yang dijalankan semalam sehingga mencetuskan kekecohan.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (PMKL), Hussen Zulkarai menegaskan tindakan segelintir pihak luar yang hadir serta membuat provokasi adalah tidak wajar memandangkan majoriti penduduk telah bersetuju dengan pelaksanaan projek pembangunan semula kawasan berkenaan.
Beliau menjelaskan, penduduk terbabit ditawarkan pampasan yang dianggap munasabah termasuk bayaran melebihi RM3 juta bagi sesetengah unit, selain kemudahan sewaan rumah sementara yang ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sepanjang tempoh pembinaan.
“Penduduk sudah bersetuju dengan pembangunan semula, namun ada pihak luar yang cuba mempengaruhi mereka supaya enggan berpindah dan menjadikan perkara Kampung Sungai Baru tular di media sosial,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.
Menurut beliau, pihak pemaju telah memperoleh semua dokumen lengkap berkaitan projek tersebut sejak pentadbiran kerajaan terdahulu, termasuk kelulusan daripada pejabat tanah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta tandatangan penduduk.
Perkara itu, jelasnya, membuktikan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru telah melalui proses yang sah mengikut ketetapan undang-undang.