KUALA LUMPUR, 6 Disember- Pembangunan Pangkalan Data Utama (PaDU), diyakini berupaya mengatasi isu berkaitan ketepatan data melalui semakan dan pengemaskinian data setiap individu, bermula Januari 2024.
Sehubungan itu, kerjasama strategik antara semua agensi kerajaan sangat penting untuk memastikan perkongsian profil data yang lengkap, dapat dikoordinasikan dengan lebih sistematik dan tersusun.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata inisiatif itu secara tidak langsung dapat membantu memastikan kemampuan kedudukan fiskal negara termasuk kemampuan kerajaan untuk menyediakan bantuan kepada rakyat, terutamanya dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
"PaDu berupaya memaparkan tahap sosioekonomi rakyat berdasarkan maklumat pendapatan, pekerjaan, pendidikan serta segala program bantuan yang diterima. Ini akan membantu kerajaan merangka dasar dan inisiatif yang lebih efektif berpandukan data dan seterusnya membolehkan rakyat menerima manfaat dari pelaksanaan dasar yang lebih terancang dan bersasar.
PaDU yang dijadualkan dilancarkan pada bulan Januari 2024 akan menyatukan data mikro daripada pelbagai agensi kerajaan bagi mewujudkan profil data semua individu dan isi rumah seluruh rakyat Malaysia," kata Hanifah di Parlimen, hari ini.
Sementara itu, data yang diselaras dalam sistem Pangkalan Data Utama (PaDU) yang bakal diperkenal pada tahun hadapan sama sekali tidak berkaitan dengan pengenalan ID Digital.
Jelas Datuk Hanifah, data PaDU diguna pakai sebagi asas dalam menentukan kumpulan sasar penerima bantuan kerajaan.
"Kita sebenarnya mempunyai perbezaan antara PaDu dan Digital ID. PaDU adalah satu perangkaan data yang mengandungi maklumat individu manakala IDN adalah pengenalan diri secara digital bagi memudahkan individu untuk melaksanakan urusan secara dalam talian.
Bagi pendaftaran di dalam sistem PaDU, pengguna mempunyai pilihan untuk mengesahkan identiti sama ada menggunakan 'Electronic Knew Your Customer' (KYC) ataupun IDN," tambah Hanifah.
Beliau memberi pencerahan kepada soalan tambahan yang diajukan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.