fb fb fb fb fb

Sarawak berpotensi tawar perkhidmatan pendidikan selain pelancongan kesihatan

FOTO HIASAN

KUCHING, 27 April- Sarawak berpotensi untuk menawarkan perkhidmatan lain kepada Indonesia melalui pembangunan ibu negara baharu, Nusantara di Kalimantan Timur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkhidmatan lain yang mempunyai potensi besar untuk ditawarkan adalah dalam bidang pendidikan.

"Mungkin kita boleh kembangkan perkhidmatan kita bukan sahaja kesihatan tetapi bidang pendidikan, kita ada universiti, yang boleh sudah pasti menarik minat mereka untuk datang ke sini belajar terutamanya menerusi tawaran kursus Bahasa Inggeris dan sebagainya," katanya.

Datuk Seri Fadillah berkata, ketika ini pelancongan kesihatan adalah perkhidmatan yang popular untuk rakyat negara jiran itu mendapatkannya di Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur asas di sempadan Sarawak-Kalimantan penting bagi memudahkan jaringan perhubungan antara dua wilayah.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan komited dalam usaha tersebut melalui peruntukan RM 1 bilion yang disediakan setiap tahun.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bercakap kepada pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon 4 DUN Satok di Kampung Segedup, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberitahu keutuhan perpaduan dan kesefahaman dalam kalangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama dapat dilihat menerusi sambutan setiap perayaan yang diraikan bersama .

Pada majlis tersebut, Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut berkesempatan merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Segedup.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE