JOHOL, 18 Januari- Kira-kira 5,000 penduduk di kawasan sekitar Johol menerima manfaat Pusat Sebaran Nasional (NADI) sejak Disember lepas.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, penduduk setempat yang rata-ratanya aktif dalam bidang pembuatan makanan boleh memanfaatkan penggunaan NADI bagi menyebar luas pasaran produk makanan mereka.
Mercu tanda baharu di Johol itu juga dijangka dapat memudahkan urusan pembelajaran buat pelajar dari 11 buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah dari kawasan sekitar.
"Jadi, penggunaan NADI ini akan dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat. Saya sudah bincang dengan NADI, bahawa kita akan mempertingkat usaha dari segi pembelajaran dalam talian ini.
Dengan adanya pusat internet ini, pembelajaran dalam talian untuk dua kategori iaitu sekolah renda dan sekolah menengah akan terus dipertingkat di Johol ini," kata Datuk Yazan kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Johol.
Dalam pada itu, pihaknya bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga kini di peringkat perancangan untuk menambah sekurang-kurangnya empat lagi pemancar di kawasan Johol bagi menambah baik capaian internet.
Dalam perkara lain, ADUN Johol itu juga komited mempertingkat infrastruktur di kawasan itu dengan pembukaan klinik kesihatan kecil baharu di Air Mawang, pembaharuan sistem pencahayaan di Johol dan naik taraf Bazar Mara sebagai usaha menjadi pemangkin ekonomi kepada kawasan Johol.