JITRA, 23 Mac – Sebanyak 60 peratus Ketua Isi Rumah (KIR) di 56 Desa KEDA di Kedah berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan hasil usaha berterusan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Pencapaian itu didorong oleh pelbagai bentuk bantuan, program serta aktiviti yang disediakan, selain kesungguhan penduduk Desa KEDA sendiri dalam meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga masing-masing.
Ahli Lembaga Pengarah KEDA, Datuk Aminuddin Omar berkata selain menyediakan penempatan kepada golongan B40, pihaknya turut memberi fokus kepada pendidikan anak-anak di Desa KEDA agar mereka mendapat peluang yang sewajarnya.
“Pendedahan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diberi keutamaan kerana bidang ini mendapat permintaan tinggi dalam industri. Jika anak-anak tidak dapat memasuki universiti atau menjadi profesional seperti peguam dan doktor, peluang dalam TVET perlu direbut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar KEDA Madani 2025 Parlimen Kubang Pasu di Desa KEDA Malau, di sini pada Sabtu.
Ketika ini, terdapat 3,850 rumah di Desa KEDA seluruh Kedah yang memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 isi rumah.