fb fb fb fb fb

Pembangunan AR untuk pengunjung meneroka tarikan Istana Maimun di Medan

Wakil UUM, UISU dan UCA bergambar dengan wakil Sultan Deli di hadapan singgahsana yang menjadi salah satu tarikan kepada pelancong di Istana Maimun/Foto UUM

SINTOK, 15 Ogos – Pembangunan aplikasi realiti terimbuh atau Augmented Reality (AR) oleh dua pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), menjadi kemudahan terbaharu kepada pengunjung ke Istana Maimun di Medan, Indonesia untuk meneroka keindahan istana berkenaan.

Pelaksanaan projek “Meneroka Istana Maimun Melalui Aplikasi AR” itu mendapat geran padanan tiga universiti iaitu UUM, Universiti Islam Sumatera Utara (UISU) dan University for the Creative Arts (UCA) United Kingdom bernilai RM30,000.

Prof. Madya Dr. Husniza Husni dari Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) UUM, Fakhrul Anuar Aziz mengambil masa hampir seminggu bagi menyiapkan projek AR berkenaan.

Kedua-duanya terpilih sebagai penyelidik dan pembangun projek di Istana Maimun susulan kejayaan mereka menyediakan kemudahan AR kepada pengunjung Kota Kuala Kedah menerusi projek dinamakan “Menelusuri Perang Kedah-Siam” yang berjaya memberi nilai tambah kepada lokasi pelancongan bersejarah di Kedah itu.

“Di Istana Maimun, kami memulakan projek dengan mengadakan perbincangan dengan wakil Sultan Deli ke-14 iaitu Tengku Moharsyah Nazmi bagi mendapatkan gambaran, fakta dan kisah berkaitan Istana Maimun. Selepas mendapatkan fakta yang tepat, kami menyediakan kod QR untuk dilekatkan pada artifak-artifak dan koleksi gambar bersejarah di dalam istana. Dengan cara itu, pengunjung ke Istana Maimun boleh mengimbas kod berkenaan dan terus mendapatkan maklumat berkaitan di dalam telefon pintar masing-masing. Apabila diimbas, pengguna bukan sahaja dapat melihat animasi berkaitan artifak atau gambar tetapi dapat mendengar suara pencerita menjelaskan kisah dan fakta artifak atau gambar di istana tersebut.

“Pasukan kami turut membuat rakaman dokumentari pendek tentang Istana Maimun yang menjadi lambang kebesaran Kesultanan Deli. Istana ini dibina atas perintah Sultan Deli, Sultan Ma’moen Al Rasyid dengan berdasarkan gaya khas seni bina Melayu dan menjadi salah satu mercu tanda terkenal ibu kota Sumatera Utara, Indonesia. Pembinaan istana berkeluasan 2,772 meter persegi ini diketuai oleh arkitek, Kapten Thedoor van Erp bermula 26 Ogos 1888 dan siap pada 18 Mei 1891. Pada hari ini, ia menjadi salah satu tarikan pelancong ke Medan kerana mempunyai binaan yang dipengaruhi budaya Islam, Melayu, Sepanyol, India dan Itali,” jelas Fakhrul Anuar.

Menurut Fakhrul Anuar lagi, projek tersebut sudah siap 80 peratus dan mereka dijadual kembali ke Istana Maimun pada bulan Disember nanti bagi menyiapkan kandungan atau modul AR berbentuk video.

Istana Maimun dibuka setiap hari kepada pengunjung bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan secara purata, ia dilawati sekitar 400 pelancong tempatan serta luar negara setiap hari dan jumlah itu meningkat sehingga 1,000 pengunjung pada cuti perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Istana Maimun dibina dua tingkat dengan 30 ruangan dan terdiri daripada tiga bahagian iaitu bangunan induk, bangunan sayap kiri dan bangunan sayap kanan.

Bangunan istana menghadap ke Timur dan pada bahagian hadapannya terdapat bangunan Masjid Al-Mashun atau lebih dikenali sebagai Masjid Raya Medan.

“Istana Maimun merupakan lokasi pelancongan penting di Medan dan pihak berkuasa pelancongan sememangnya sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan pengunjung ke sini. Menerusi maklum balas pihak UISU, mereka melihat projek “Meneroka Istana Maimun Melalui Aplikasi AR” akan memberi nilai tambah yang signifikan. Ini kerana, dengan adanya AR, pelancong akan lebih mudah mendapatkan maklumat berkaitan Istana Maimun dengan hanya mengimbas kod QR.

“Pihak UISU sangat berbesar hati dengan kejayaan pelaksanaan projek tersebut dan berminat untuk meluaskan lagi kerjasama dengan UUM bagi membangunkan aplikasi realiti terimbuh di beberapa lokasi pelancongan lain di Sumatera Utara terutama tempat mempunyai kisah-kisah sejarah menarik,” kata Fakhrul Anuar lagi.

Menurutnya lagi, selain keindahan seni bina istana dan taman-taman mengelilinginya, terdapat banyak khazanah yang melambangkan warisan budaya Melayu seperti koleksi seni, artifak bersejarah terdiri daripada barang antik, perkakas perhiasan, senjata tradisional dan pelbagai barangan lain yang menunjukkan kehidupan serta kebudayaan Kesultanan Deli.

Semua maklumat berkaitan koleksi tersebut kini lebih mudah diakses oleh pengunjung menerusi projek aplikasi AR ini.

Sebelum ini, pemandu pelancong memainkan peranan penting dalam membantu pelawat mendapatkan maklumat mengenai Istana Maimun dan dengan adanya projek “Meneroka Istana Maimun Melalui Aplikasi AR”, pengunjung boleh mendapat akses hanya dengan mengimbas kod QR.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD