
KUALA LUMPUR, 10 Mac – Aktiviti pembakaran terbuka dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar pencemaran udara di Malaysia dengan kira-kira 38 peratus daripada jumlah pelepasan zarah halus yang menjejaskan kualiti udara.
- Pencemaran udara dipengaruhi gabungan sumber tempatan serta faktor luar termasuk jerebu rentas sempadan.
- Data 2023 hingga 2026 menunjukkan PM10 dan PM2.5 sebagai punca utama pencemaran zarah halus.
- Penggunaan mesin peniup daun bukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; kementerian akan nilai impak dan alternatif mesra alam.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pencemaran udara di negara ini dipengaruhi gabungan sumber tempatan serta faktor luar termasuk jerebu rentas sempadan.
“Kita memahami antara punca pencemaran udara berpunca daripada beberapa faktor utama. Berdasarkan data bagi tempoh 2023 hingga 2026, pencemaran ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pelepasan zarah halus PM10 dan PM2.5.
“Antara sumber utama ialah aktiviti pembakaran terbuka yang menyumbang kira kira 38 peratus, diikuti jerebu rentas sempadan sebanyak 24 peratus, pelepasan asap daripada kenderaan bermotor 22 peratus serta sektor perindustrian sekitar 16 peratus,” katanya demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Sivaraj Chandran di Dewan Negara hari ini.
Jelasnya lagi, penggunaan mesin peniup daun pada masa ini juga tidak termasuk dalam kategori kesalahan bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, namun kementerian akan terus menilai impaknya terhadap pencemaran udara serta kemungkinan penggunaan alternatif yang lebih mesra alam.