fb fb fb fb fb

Pembaikan cerun runtuh di laluan Jalan Balik Pulau ke Teluk Bahang siap lebih awal

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau hasil pembaikan cerun runtuh di laluan Jalan Balik Pulau ke Teluk Bahang

BALIK PULAU, 26 November- Kerja-kerja pembaikan cerun yang runtuh akibat hujan lebat yang berterusan di laluan Jalan Balik Pulau ke Teluk Bahang telah siap untuk digunakan serta lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja tersebut siap sepenuhnya pada 6 November lalu, iaitu 51 hari lebih awal daripada tarikh asal, 26 Disember ini.

Beliau berkata, terdapat dua lokasi tanah runtuh iaitu di Seksyen 46.8 dan Seksyen 45.4 dengan kos keseluruhan hampir RM1.8 juta.

Tambahnya, terdapat juga beberapa lokasi yang perlu dipantau berikutan dilihat berisiko tinggi sekiranya tidak diambil tindakan.

"Tadi saya difahamkan ada beberapa lokasi, mungkin kita perlu lihat dan pantau, sekarang ia mungkin agak mudah runtuh kalau tidak buat. Jadi kita telah bersetuju untuk peruntukan tahun 2024, nanti akan juga kita buat langkah pencegahan kepada beberapa lokasi yang telah dikenal pasti", katanya.

Beliau ditemui media selepas meninjau hasil kerja-kerja pembaikan dan merasmikan pembukaan laluan kepada semua jenis kenderaan.

Katanya, projek tersebut penting kerana ia bukan sekadar untuk kegunaan harian penduduk setempat malah pelancong.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool dan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.

ROSLINA BINTI DIN