fb fb fb fb fb

Pembabitan anak FELDA dalam sektor kerjaya, membanggakan - Presiden GWGF

Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail

MARAN, 27 Mei- Generasi baharu FELDA membuktikan bahawa mereka sebagai generasi pintar, yang memiliki pelbagai kepakaran sekali gus menjadi penyumbang terhadap pembangunan negara.

Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata kehebatan mereka dibuktikan dengan pelbagai jawatan profesional di jabatan kerajaan dan swasta yang berkhidmat di dalam dan luar negara.

Malah ujarnya, generasi peneroka boleh diamanahkan mengetuai institusi dan syarikat konglomerat kerana mempunyai pelbagai kepakaran dan semangat tinggi untuk mengangkat status masyarakat FELDA.

"Golongan anak-anak peneroka ini sudah lebih 30 peratus telah melibatkan diri dalam perniagaan serta bidang profesional. Ada di antara mereka yang turut menjawat jawatan penting dalam syarikat, juga dalam kerajaan."

"Penglibatan mereka ini memberi kemakmuran dalam negara. Sudah tentu, apabila mereka pulang ke tanah rancangan masing-masing, mereka menjadi idola kepada penduduk FELDA," kata Tan Sri Rozali kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat ke-44 tahun 2024 di sini, hari ini.

Rozali yang juga Pengerusi Puncak Niaga berkata pencapaian anak FELDA dalam pelbagai kerjaya merekodkan penambahan sekali gus menjadi satu kejayaan besar buat FELDA.

Selaku anak peneroka anak peneroka FELDA Gedangsa, Hulu Selangor, beliau juga amat berbangga dengan pencapaian generasi FELDA terutama dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM