fb fb fb fb fb

Pemasangan plak berdaftar, iktiraf taska selamat dan berkualiti - KPWKM

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Januari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus komited dalam memastikan sistem pengasuhan dan penjagaan awal kanak-kanak berada pada tahap terbaik, selamat dan berkualiti.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pemasangan plak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) berdaftar antara inisiatif terbaik dalam memudahkan urusan ibu bapa memilih pusat asuhan, sekali gus membantu kerajaan menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

"Jadi, taska yang berdaftar akan beroperasi dengan memenuhi syarat yang ditetapkan. Ini demi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak semasa keberadaan mereka di taska.

Langkah ini seterusnya dapat mengurangkan risiko berlakunya insiden yang tidak diingini," kata Datuk Seri Nancy ketika berucap pada Pelancaran Plak Taska Berdaftar di Taska Sri Kandi, Jabatan Audit Negara, di sini.

Semua taska berdaftar diwajibkan mempamerkan plak tersebut, di tempat yang mudah dilihat dari luar premis masing-masing.

Setakat ini, sebanyak 3,198 buah taska berdaftar akan terlibat dalam inisiatif pemasangan plak ini.

Dalam pada itu, KPWKM akan meneliti semula permohonan pendaftaran dua taska di Selangor dan Sarawak yang terlibat dalam insiden kematian dan kecederaan bayi.

Datuk Seri Nancy menegaskan pihaknya tidak akan meluluskan permohonan taska tersebut secara terburu-buru, terutama apabila perkara berkenaan kini masih dalam siasatan polis.

Jumaat lalu, satu kes dilaporkan berhubung kes kematian seorang bayi berusia empat bulan di sebuah taska di Saujana Putra, Selangor manakala di Sarawak, membabitkan kes seorang bayi berusia lapan bulan dilaporkan mengalami kecederaan dan lebam, dipercayai akibat digigit kanak-kanak lain, pada Selasa lalu.

Difahamkan, kedua-dua taska tersebut yang masih belum berdaftar, kini sedang dalam proses permohonan untuk mendapatkan kelulusan pendaftaran.

Mengulat lanjut, Datuk Seri Nancy berkata, sebanyak 94 tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) sepanjang tahun lalu.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM