
KAJANG, 29 Januari – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) masih dalam proses permohonan peruntukan dari Kementerian Kewangan.
- Pemasangan CCTV di lokap AADK akan dilaksanakan secara berfasa pada tahun ini, tertakluk kepada kelulusan peruntukan.
- CCTV bertujuan mempertingkat pemantauan dan keselamatan bekas penagih di tahap keselamatan maksimum.
- AADK menunggu peruntukan kerajaan untuk melengkapi 18 lokap berpusat dengan sistem CCTV.
- Inisiatif ini mencerminkan komitmen AADK untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti pengurusan lokap.
Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh berkata, pelaksanaan inisiatif itu dapat dimulakan pada tahun ini dan akan dilaksanakan secara berfasa tertakluk kepada kelulusan peruntukan.
“Kita sedang berusaha melaksanakannya pada tahun ini dan pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa. Insya-Allah, inisiatif ini merupakan antara komitmen utama dalam memastikan tadbir urus serta integriti pengurusan lokap di Malaysia.
“Golongan bekas penagih yang ditempatkan pada tahap keselamatan maksimum akan dipantau dengan lebih berkesan menerusi pemasangan CCTV, yang menjadi antara kaedah pemantauan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan amanat 2026 dan Perhimpunan Bulanan Januari AADK di sini hari ini.
Pemasangan CCTV berkenaan membolehkan pemantauan dilaksanakan dengan lebih berkesan, khususnya terhadap bekas penagih yang ditempatkan di lokap pada tahap keselamatan maksimum.
Ketika ini AADK mempunyai 18 lokap berpusat di seluruh negara dan pihaknya masih menunggu peruntukan kerajaan bagi membolehkan pemasangan CCTV dilaksanakan di semua fasiliti berkenaan.
Usaha itu mencerminkan komitmen berterusan AADK dalam memastikan tahap tadbir urus dan integriti pengurusan lokap agensi tersebut berada pada tahap tertinggi.
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 550 unit CCTV berteknologi tinggi akan dipasang di 18 fasiliti lokap berpusat AADK di seluruh negara bagi memperkukuh aspek pemantauan dan keselamatan tahanan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju melaksanakan pemasangan CCTV berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta lokap AADK sebagai langkah meningkatkan kecekapan agensi penguat kuasa dalam memastikan keselamatan tahanan terjamin.