Pemantauan kendiri pemandu penting kurangkan risiko kemalangan

Gambar hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 31 JanuariPengendali pengangkutan awam diseru melaksanakan pemantauan kendiri secara berkala terhadap pemandu bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya serta mempertingkat disiplin dan kualiti pemanduan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengendali pengangkutan awam mesti menjalankan pemantauan kendiri berkala ke atas pemandu untuk kurangkan risiko kemalangan.
  • Rekod menunjukkan kepatuhan rendah, dengan beberapa pengendali mendapat markah serendah 20 peratus dalam JISA.
  • Penguatkuasaan dan pemantauan aktif diperlukan untuk tingkatkan pematuhan ICOP dan keselamatan jalan raya.

Pengarah Bahagian Pematuhan dan Pemantauan Prestasi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Nazrul Zarifi Mohd Nazri, berkata pemantauan berterusan penting susulan pihaknya mengesan pelanggaran had laju serius oleh pemandu bas.

“Dalam tempoh sebulan, ada pemandu yang didapati melakukan pelanggaran had laju sehingga 10,000 kali. Ini menunjukkan pengendali perlu memantau pemandu secara aktif, bukan sekadar bergantung kepada disiplin individu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di sini.

Pengarah Bahagian Pematuhan dan Pemantauan Prestasi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Nazrul Zarifi Mohd Nazri/RTM

Dalam pada itu, Menyentuh mengenai program JPJ Inspection & Safety Audit (JISA), beliau menegaskan program berkenaan masih menunjukkan tahap pematuhan pengendali pengangkutan awam yang rendah meskipun markah lulus minimum ditetapkan 70 peratus.

Jelas beliau, terdapat pengendali yang mencatatkan markah serendah 20 peratus.

Tambah beliau , keadaan tersebut mencerminkan pematuhan terhadap Kod Tata Amalan Industri (ICOP) berkaitan keselamatan jalan raya masih lemah.

Justeru, beliau berharap penguatkuasaan berterusan dapat meningkatkan tahap pematuhan industri pengangkutan awam demi menjamin keselamatan jalan raya.